BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, October 12, 2009

Prinsip Asas Dalam Kepimpinan Islam


Terdapat lima prinsip asas yang mengawal kepimpinan Islam iaitu:

-Berpandukan al-Quran dan al-Sunnah
Al-Quran merupakan sumber pertama daripada sumber-sumber perundangan Islam. Allah S.W.T telah memberi jaminan akan memeliharanya sehingga Hari Kebangkitan daripada dikotori oleh "tangan-tangan jahat" yang cuba menyeleweng dan merubahnya. Walaupun telah 14 abad berlalu, al-Quran yang ada pada kita hari ini tetap samada dari segi lafaz, makna, tajwid dan bacaannya.

Sunnah Nabawiyyah pula merupakan sumber kedua deripada simber-sumber syariah, bahkan ia merupaka penjelasan bagi al-Quran dan sebagai pelengkap bagi sistem Islam. Kita wajib mengambil al-Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan. Nabi dalam hadisnya telah bersabda:

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang engkau tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana engkau berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya"

-Menegakkan Kebenaran
Kebenaran menjadi tunggak dalam ajaran Islamyang perlu diterapkan, baik di peringkat individu sehinggalah ke peringkat negara. firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"(Allah S.W.T menyatakan kebenaran itu) Dilah yang mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain:cukuplah Allah S.W.T menjadi saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu)."

Seorang pemimpin wajib menyebelahi kebenaran. Kebenaran yang dibawa Islam mesti ditegakkan. Ideologi yang lain tidak boleh dijadikan dasar sehingga mempengaruhi atau mewarnai kepimpinan. Dalam hal ini tidak boleh wujud desakan manusia yang mempengaruhi pemimpin meninggalkan kebenaran, semata-mata untuk menambat hati minat mereka.

-Syura
Syura ialah prinsip yang utama dalam kepimpinan Islam (berpolitik). Al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa pemimpin Islam wajib mengadakan syura dengan orang yang mempunyai pengetahuan atau orang islam yang dapat memberi pandangan yang baik. Ini jelas dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Dan (bagi) orang-orang yang mematuhu (menerima) seruan TuhanNya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka, dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka"
(Surah asy-Syura:42-38)

Pelaksanaan syura memungkinkan anggota organisasi Islam melibatkan diri dalam proses membuat keputusan. Pada masa yang sama syura berfungsi sebagai tempat menyelia tindak tanduk pemimpin agar sentiasa tidak terkeluar daripada matlamat urusan jemaah. Bidang kegiatan syura adalah seperti berikut:

1. Hal pentadbiran dan pengurusan hendaklah dikendalikan oleh pemimpin.
2. Urusan yang memerlukan keputusan yang pantas dan segera hendaklah ditangani oleh pemimpin dan dibentangkan kepada jemaah melalui mesyuarat atau melalui "telefon"persidangan.
3. Ahli-ahli atau wakil mereka hendaklah mampu memeriksa dan mempersoalkan tindakan pemimpin secara bebas tanpa mempunyai perasaan malu.
4. Dasar-dasar yang hendak diambil, objektif jangka panjang dan keputusan yang penting mestilah dibuat oleh wakil yang dipilh dalam sesuatu proses yang benar. Perkara ini tidak boleh diserahkan kepada pemimpin sahaja.
(Hisham Al-Talib,1992)

Asas musyawarah (syura )yang paling utama ialah berkenaan dengan pemilihan Ketua Negara dan orang yang akan menjawat tugas-tugas utama dalam pentadbiran ummah.Kemudian tentang cara pelaksanaan undang –undang yang telah termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Seterusnya berkenaan dengan langkah-langkah bagi menentukan perkara-perkara baru yang timbul di kalangan ummah melalui proses ijtihad.Tindakan pemimpin terhadap keputusan syura telah dijelaskan sebagaimana berikut:
1.Jika keputusan itu berkenaan dengan syariat, yang berasaskan nas yang terang, pemimpin itu tiada pilihan lain melainkan menerima sahaja.
2. Kalau keputusan itu berdasarkan syariat yang bersifat khilaf, pemimpin terpaksa menggunakan kebijaksanaannya untuk memilih pendapat yang disokong oleh dalil-dalil yang kuat yang dikemukakan oleh mujtahid-mujtahid di kalangan ahli syura
3. Bagi semua persoalan mendatang seperti peperangan, politik atau perhubungan luar dan sebagainya, pemimpin boleh membuat pilihan antara pendapat terbaik dan terdekat sekali dengan yang betul dan yang paling sesuai sesudah pemesyuaratan tanpa melihat kepada pendapat terbanyak.
(Abu Urwah,1989)

Rasulullah s.a.w dan para sahabat menjadi contoh yang baik kepada umatnya dalam hal menghormati dan melaksanakan dasar ini. Mereka bermesyuarat dalam mengambil sesuatu keputusan terhadap sesuatu perkara. Antara contoh amalan syura yang di lakukan oleh baginda dan para sahabat adalah seperti berikut:

1. Sewaktu peperangan Uhud, baginda bermesyuarat dengan umat Islam untuk menentukan strategi perang; samada bertahan di Madinah atau keluar menyerang. Majoriti berpendapat lebih baik keluar, tetapi baginda dan beberapa orang sahabat lain tidak bersetuju demikian, namun baginda tetap mengikut pendapat majoriti.
2. Baginda bermesyuarat dengan umat Islam tentang peperangan Khandak. Baginda berpendapat lebih baik berdamai dengan musuh dengan membayar satu per tiga hasil buah tamar Madinah pada tahun ini kepada mereka. Cadangan Rasulullah s.a.w tidak dipersetujukan Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah. Oleh itu baginda mengikut pendapat mereka.
3. Dalam peristiwa Hudaibiah, baginda bermesyuarat dan berpendapat lebih baik ditawan golongan musrik, tetapi Abu Bakar berkata kepada baginda, "Kita datang bukan untuk membunuh seseorang tetapi untuk mengambil umrah". Baginda bersetuju dengan pendapat Abu Bakar r.a.
4. Sesudah baginda Rasulullah s. a. w wafat, orang Islam telah berkumpul di Thaqifah Bani Saidah. Orang Ansar menegluarkan pendapat mereka tentang khalifah. orang Muhajirin juga berbuat demikian. Mereka sama-sama bermesyuarat dan akhirnya bersetuju melantik Abu Bakar r.a.
5. Semasa Abu Bakar r.a menjadi khalifah, muncul golongan yang murtad, golongan yang enggan membayar zajat dan nabi-nabi palsu. Para sahabat bermesyurat dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memerangi golongan tersebut.

-Adil
Pemimpin hendaklah berurusan dengan orang ramai atau rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan atau agama. Al-quran memerintahkan orang Islam supaya berlaku adil apabila berurusan dengan orang yang menentang mereka. Ini jelas dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu melakukan tidak adil. berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepda takwa."
Keadilan dalam kepimpinan Islam meliputi dan menguasai segala jenis perhubungan yang berlaku dalam kehidupan manusia, termasuk keadilan antara rakyat dan pemerintah, antara dua pihak yang bersengketa di hadapan pihak pengadilan antara pasangan suami isteri dan antara ibu bapa dan anak-anaknya. Oleh sebab kewajipan berlaku adil dan menjauhi perbuatan zalim merupakan antara asas utama dalam sistem sosial Islam, maka menjadi peranan utama sistem kepimpinan Islam memelihara asas tersebut.








1 comments:

AnisMuslimah said...

setiap pemimpin akan ditanya kepimpinannya... prinsip asas yang diberikan amat jelas...