BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, October 12, 2009

Taktik Jualan Murah:Pembeli Jangan Tertipu!


SALE!!! Harga runtuh!!! Jualan murah!!! Promosi pembukaan!!! Jualan gudang!!! Harga borong!!! harga terendah!!! Lelong!!! Jualan penghabisan stok!!! Jualan hari raya!!! Itulan di antara tulisan-tulisan yang terpampang sebagai iklan bagi menarik minat orang ramai mengerumuni sesebuah pusat membeli-belah. Pastinya trademark di atas seakan-akan sudah lali kita saksikan sebagai 'manisan' di pintu masuk dan papan iklan di luar gedung membeli belah untuk melariskan jualan. Taktik halus menerusi iklan menarik serta kreatif yang digunakan peniaga dan pengiklan sememangnya menjadi senjata utama untuk memastikan pengguna tertarik dengan promosi barangan. Menurut satu kajian, iklan melalui televisyen merupakan iklan yang paling cepat dan efektif untuk mendapatkan pelanggan. Malam ini iklan ini tersiar, keesokannya akan ada jutaan pengguna mencarinya di pasaran. Begitulah hebatnya pengaruh televesyen kepada masyarakat pengguna tidak kira pengguna dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Malah, kanak-kanak dikatakan golongan pengguna yang cepat terpengaruh dengan iklan di televisyen berbanding pengguna golongan dewasa dan remaja.

Namun, pastinya tiada siapa yang lebih tertarik dengan segaja promosi dan tawaran harga runtuh sebagaimana yang ditawarkan melainkan 'kaki shopping' yang sentiasa berselera untuk membeli-belah. Pantang saja terlihat papan iklan mahupun katalog yang menawarkan potongan harga yang istimewa, pasti menjadi tidak keruan selagi tidak berkunjung ke situ dan mengangkut pulang bungkusan barang-barang. mereka yang seperti ini tidak perlu menunggu Karnival Jualan Mega berlangsung untuk berbelanja.

'Kegilaan' membeli –belah ini tidak lain adalah disebabkan pengaruh iklan tanpa kawalan sehingga sampai ke tahap pembaziran. Sikap ini seolah-olah menjadi amalan. Sesetengah berpandangan, jika tidak bermewah-mewah, seseorang itu mungkin dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling. Lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat sekarang yang lebih bersifat kebendaan. Tidak salah untuk berbelanja dan bermewah tetapi bukan secara berlebihan. Itulah prinsip islam yang sebenar kerana bermewah tanpa had akan menyebabkan seseorang terjerat dengan hutang di kemudian hari.

Risiko Penggunaan Kad Kredit

Berhutang merupakan kenyataan yang melanda hampir setiap individu dalam masyarakat hari ini. dalam hasrat memperlihatkan taraf hidup yang tinggi, ada yang berbangga dengan mempunyai pelbagai kad kredit. Kajian Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendapati kebanyakan pengguna kad kredit mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Mereka menggunakannya sebagai alternatif untuk memiliki kemudahan wang dengan cara mudah dan ini mendorong kepada gejala boros berbelanja. Jika berhutang menjadi satu tabiat maka apabila pendapatan bertambah, hutang juga akan bertambah. Akhirnya ramai yang menghadapi risiki dibawa ke mahkamah dan diisytiharkan muflis.

Membeli Biar Berpada

Adakah 'kegilaan' membeli-belah ini boleh dikaitkan sebagai suatu penyakit yang membahayakan diri atau ia merupakan salah satu cara menghilangkan tekanan kerja (stres) di pejabat? Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia (Pekerjaan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fatimah Omar berpendapat bahawa sesetengan individu terdorong untuk menghilangkan tekanan dengan cara membeli-belah yang hakikatnya mereka sendiri tidak memerlukannya. Keadaan ini kemungkinan berlaku disebabkan oleh tekanan yang tidak diluahkan kepada seseorang, sehingga tiada jalan penyelesaian lain melainkan menghiburkan diri dengan keluar membeli-belah.

Namun apa yang tidak diingini berlaku ialah keseronokan membeli-belah itu hanya bersifat sementara sahaja kerana sebaik sahaja pulang dari berbelanja barulah disedari bahawa barang yang dibeli itu sebenarnya tidak diperlukan.Itu belum lagi dengan pembelian melebihi pendapatan (over budget) sehinga mengakibatkan hutang.Justeru kita disarankan agar menyenaraikan terlebih dahulu keutamaan barangan yang ingin dibeli sebelu bertindak keterlaluan kerana perancangan awal dan strategi membeli belah yang mampu mengelakkan seseorang berbelanja tanpa had.Secara tidak langsung ia akan menyelamatkan kita daripada terpedaya dengan pujukan promosi iklan sebaliknya berfikir terlebih dahulu dan membuat senarai barang yang sepatutnya dibeli.

Sementara itu, Prof Madya Dr Aminuddin Mohd Yusof dari Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia (PsikologiSosial)UKM, pula memberikan pandangan bahawa kegilaan untuk membeli-belah sebenarnya bukan satu penyakit, sebaliknya ia adalah 'ketagihan' membeli tanpa batasan.Sifat boros ini telah menjadi amalan buruk seseorang dan dia tidak mampu mengawal diri setiap kali keluar berbelanja. Justeru pembeli seharusnya arif dalam mengenal pasti taktik jualan murah itu benar-benar menguntungkan atau sekadar simbolik untuk memancing pengguna. Sebagai contoh, ada juga pakaian yang memang dijual khusus sempena promosi sebagai daya tarikan untuk pembeli. Dalam hal ini terdapat empat kategori pembeli yang keluar membeli belah iaitu:

  1. Mereka yang gemar melihat-lihat barang(window shopping)
  2. Mereka yang hanya membeli barang mengikut keperluan
  3. Mereka yang membeli barangan yang tidak menjadi keutamaan
  4. 'Kaki shopping' (shopaholic) yang membeli tanpa kawalan.

Masyarakat hari ini kebanyakannya mudah tertarik dengan tawaran iklan sehingga mudah membeli sedangkan ia bukanlah menjadi keperluan penting buat diri mahupun keluarganya. Keadaan ini bukanlah suatu tabiat yang baik kerana ia akan mendidik masyarakat menjadi boros , umpamanya bonus yang diperpleh setiap tahun dimanfaatkan kepada perbelanjaan yang tidak sepatutnya .

Justeru dinasihatkan kepada 'kaki shopping' untuk berfikir terlebih dahulu barangan yang ingin dibeli dan dahulukan keperluan penting untuk mengelak daripada bahana mengikut nafsu untuk kepuasan diri semata-mata bak kata pepatah ' biar bapa asal bergaya '. Lebih-lebih lagi jika di musim perayaan ini ramai yang ingin berlumba-lumba mempamerkan kekayaan tidak kira pada harta,kenderaan., rumah ,pakaian , barang kemas dan sebagainya . Belajarlah menabung dan ukurlah baju di badan sendiri kerana langit itu tidak selalunya cerah . Beringatlah sebelum kena dan berjimatlah sebelum habis!!!

0 comments: